Kali ini saya telah diberi tugasan untuk mengulas berkaitan sebuah filem tempatan yang telah ditayangkan.
Tahun
ini, terdapat berbagai-bagai filem yang telah ditayangkan. Ada yang melibatkan genre
seram, romantik, kelakar dan banyak lagi. Bagi sutradara baru iaitu Mohd Khairul
Azri (Kroll Azry), tuah agak menyebelahi beliau apabila filem arahan sulungnya
Pekak telah mendapat sambutan dan perhatian yang agak menggalakkan dari
penduduk tempatan.
Filem
ini juga telah mendapat pengiktirafan dan dipilih untuk ditayangkan di Cannes
di pentas Marche du Film 2016 dan tayangan perdananya di World Premieres Film
Festival Philippines pada tahun 2015.
Filem
ini juga telah mengundang pelbagai persepsi dari setiap golongan masyarakat. Filem ini
berjaya mengundang huru-hara dan menjadi sebutan setiap lapisan dan golongan
masyarakat. Saya juga telah menonton filem ini pada 5 September 2016 yang lalu
dan bagi saya sendiri ia adalah sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton.
Pekak
mengisahkan Uda seorang yang pekak lakonan Zahiril Adzim telah digunakan Joe Flizzow untuk menjual dan
mengedar dadah demi mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan kokleanya. Kegiatan
Uda telah dikaburi secara tidak sengaja dengan kad OKU yang dimilikinya. Joe Flizzow
yang memainkan watak sebagai tokan menggunakan kelebihan yang ada Uda bagi
menjalankan bisnesnya dengan jayanya dan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Uda
kemudiannya bertemu Dara lakonan Sharifah Amani iaitu seorang pelajar sekolah
yang bermasalah, yang mencari ruang agar isi hatinya didengari dan masih
mencari arah tujuan hidupnya. Tanpa sedar rasa cinta mula timbul antara mereka
apabila Dara merasakan Uda sentiasa memahami dan mendengar segala suara
hatinya. Namun seperti semua kisah cinta, percintaan mereka terhalang oleh
dunia dan budaya masyarakat hedonistik seks dan dadah.
Melur
lakonan Sharifah Sakinah pula merupakan kawan baik kepada Dara. Melur merupakan
seorang gadis muda yang menjalani kehidupan bebas selepas tamat belajar. Melur
menjalinkan hubungan dengan seorang penagih dadah iaitu Azman Picasso lakonan
Amerul Affendi. Kamil pula lakonan Iedil Putra adalah seorang yang berada dan berusaha
untuk memenangi hati Dara serta mahu menidurinya. Kamil juga sanggup menampung segala keperluan Azman hanya untuk
mendapatkan Dara.
Bagi
saya, filem ini menjadi sebutan ramai kerana ia bukanlah sebuah filem yang
memberi pengajaran moral ataupun untuk berdakwah, tetapi filem ini menjadi
kontroversi kerana temanya yang ditonjolkan secara berani dan terbuka. Ia
benar-benar masuk ke dalam masyarakat sama ada yang menerima, menolak,
membahaskan secara emosi, secara ilmiah mahupun dari segi agama, menghukum,
mengkritik dan banyak lagi.
Disebabkan
hampir keseluruhan jalan cerita filem ini ‘pekak’, makanya pemerhatian terhadap
watak Uda haruslah ditekankan bagi membaca, memahami dan mendalami wataknya. Antara babak yang agak menarik bila mana
Uda menggunakan pin nama Dara bagi menutup bahagian baju Dara yang terkoyak di
bahagian belakang. Jika dibandingkan dengan filem-filem lain, kebiasaannya
jaket akan digunakan bagi menutup koyak tersebut tetapi dalam filem ini pengarahnya
telah menunjukkan satu sisi yang baru.
Kisah
cinta Uda dan Dara yang klasik dihidupkan dengan gaya modern yang sangat segar.
Kisah mereka tidak lari dari dunia realiti dan masih berpijak di dunia yang
nyata. Kehidupan remaja yang penuh dengan aktiviti tidak sihat juga dapat
dilihat dalam kisah percintaan antara Melur dan Azman Picasso.
Selain
itu, parti liar yang biasanya ditayangkan akan dibuat di kelab-kelab malam
tetapi melalui filem ini parti tersebut diadakan di rumah orang yang berada
seperti Kamil. Hakikatnya, kini kebiasaanya parti-parti liar biasanya dilakukan
dan dianjurkan oleh anak-anak orang kaya. Di sini kita dapat lihat bahawa
aktiviti liar dan tidak sihat itu sebenarnya tidak semestinya bermula dari luar
rumah tetapi boleh juga berlaku dari rumah sendiri.
Watak
Azman Picasso yang merupakan seorang penagih boleh diberikan penghargaan kerana
watak beliau benar-benar hidup. Sikap dan gayanya yang menunjukkan sebagai
seorang penagih benar-benar menunjukkan bahawa beliau telah mendalami watak
tersebut sebelum melakonkannya. Azman sering berkhayal akan kehadiran Melur dan
banyak lagi adegan-adegan khayalannya. Wataknnya juga berjaya mengisi ruang dan
menghidupkan suasana yang hampir sepi melebihi watak Uda sendiri.
Melalui
filem ini juga, dapat dilihat Dara, naif dalam mencari ruang untuk suaranya
didengari manakala Melor pula naif dalam mencari ruang untuk dirinya
memberontak sementara Kamil naif dalam meneroka rasa sensual dirinya. Uda
walaupun agak matang dalam filem ini, ternyata memilih jalan yang salah dalam
memenuhi kehendaknya hingga mengorbankan orang yang disayanginya dan watak
Azman yang juga kelihatan matang tetapi terlampau menghambakan dirinya dengan
dadah.
Watak-watak
yang ditonjolkan melalui filem Pekak ini menunjukkan mereka sebenarnya tersalah
menilai dan tersalah memilih sedangkan mereka masih mempunyai pilihan lain yang
mana akhirnya menjerat diri sendiri sama ada untuk menjadi mangsa diri sendiri
atau mangsa orang lain.
Selain
pengarahan dan pembentukan naratif ekspresif yang baik, barisan
pelakon-pelakonnya juga berjaya menghidupkan hubungan antara watak-watak dalam
filem ini.
Sebagai
pembikin filem yang baru, Khairul Azri berjaya memberikan nafas baru dalam
filem tempatan. Semoga dengan kehadiran pengarah baru serta barisan pembikin
filem Malaysia yang baru akan dapat meneruskan perkembangan bentuk dan idea
dalam filem tempatan.
No comments:
Post a Comment