"Kita hanya akan tersedar dari khayalan dan mimpi siang saat duka datang bertamu."

Monday, December 5, 2016

DARI MALAYSIA KE KEMBOJA



Ini adalah catatan perjalanan saya bersama-sama rakan sekelas Semester 4 Sesi April 2016/2017 Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur (UUM KL) dalam menjayakan satu program kemasyarakatan.

Tanggal 21 Julai 2016-24 Julai 2016 yang lalu, kami telah menjejakkan kaki ke tanah Kemboja. Misi utama kami berada di sana adalah untuk menjayakan dan menyempurnakan satu program kemasyarakatan yang diberi nama Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali.

Sepanjang keberadaan kami di sana, kami dibantu oleh Ustaz Abdul Samad Bin Yusof dalam menjalankan segala aktiviti yang telah dirancang. Program ini turut mendapat kerjasama dari agensi-agensi luar yang prihatin dalam usaha menjayakan program ini. Selain mendapat bantuan kewangan, kami juga mendapat bantuan dari segi pakaian, makanan dan sebagainya.




21 Julai 2016 (Khamis)



Perjalanan bermula dengan berkumpul di KLIA2 pada jam 12.00 tengah hari untuk diberikan taklimat terakhir sebelum berlepas. Kemudiannya kami seramai 33 orang ahli telah bersama-sama membantu bagi menguruskan urusan bagasi yang membawa pelbagai jenis barang seperti bahan-bahan masakan, pakaian-pakaian yang telah disedekahkan dan sebagainya.



Tepat jam 3.45 petang, pesawat AK534 berlepas menuju ke bumi Kemboja. Perjalanan yang mengambil masa selama dua jam membuatkan kami hanya membuat hal masing-masing.




Pesawat selamat mendarat pada jam 5.45 petang di Lapangan Terbang Phnom Penh. Setibanya di sana, kami terus menguruskan bagasi-bagasi yang dibawa dari Malaysia selain turut dibantu oleh wakil Kedutaan Malaysia di Kemboja yang telah maklum akan kedatangan kami. Ketibaan kami di pintu luar lapangan terbang disambut dengan hujan yang agak lebat. Kami juga dikhabarkan bahawa sebelum ini sudah tiga bulan bumi Kemboja tidak dibasahi hujan.

(Ustaz Samad yang sentiasa membantu sepanjang keberadaan kami di sana) 
Kemudiannya, Ustaz Samad terus membawa kami menaiki van-van yang telah disediakan untuk menuju ke rumah rehat pada malam itu.  Namun. terdapat sebuah van yang mengalami sedikit masalah enjin dan menyebabkan kami terpaksa menunggu selama satu jam lebih bagi memastikan semua van bergerak bersama.

Disebabkan masalah yang dihadapi itu, kami tidak mempunyai banyak masa untuk berehat di rumah tamu yang telah disediakan. Perjalanan yang hampir satu jam itu menyebabkan kami mempunyai masa hanya 20 minit sahaja untuk membersihkan diri dan kemudiannya meneruskan aktiviti seterusnya.



Jam 8.30 malam kami tiba di Kampung Klang Sbek Phnom Penh. Kami disambut mesra oleh penduduk Islam kampung tersebut. Kami juga turut disajikan makan malam dengan nasi berlaukkan masakan tradisi Kemboja. Memandangkan semua agak kelaparan pada masa itu, kami semua menikmati makanan dengan berselera sekali walaupun ada sedikit kelainan rasa pada masakan mereka.



Kemudiannya kami bersama-sama membantu penduduk kampung menyediakan bahan-bahan mentah untuk gotong-royong pada keesokkan harinya.

Aktiviti diteruskan dengan penyerahan sumbangan kepada penduduk kampong seperti duit, pakaian, beras, alat tulis dan pelagai lagi. Selesai sesi penyerahan sumbangan kami terus pulang ke rumah tamu untuk beristirehat.







22 Julai 2016 (Jumaat)
Pagi Jumaat ini kami telah dibawa ke sebuah gerai makanan di tepi jalan oleh Ustaz Samad. Kebanyakkan kami telah memilih sup kuetiau sebagai hidangan pada pagi itu. Setelah makanan sampai, masing-masing hanya tersenyum tetapi terpaksa memakannya memandangkan Ustaz Samad telah bersusah payah membawa kami semua ke gerai tersebut. Sup kuetiau yang dihidangkan sebenarnya di Malaysia lebih dikenali sebagai sup bihun. Sup bihun yang dihidangkan dengan dua bebola daging yang sangat besar dan daging-daging dengan potongan yang agak besar serta salad di dalam sup bihun tersebut. Rasanya juga agak lain dan sedikit berbeza dengan lidah Melayu saya. Tetapi, untuk menjaga hati, saya habiskan juga bihun tersebut dan begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.



Kemudiannya kami terus bergerak untuk membuat lawatan ke tempat-tempat pemasangan perigi dan panel solar yang telah disumbangkan. Kami dibawa memasuki jalan-jalan kampung dan bertemu dengan penduduk kampung. Ada juga ahli yang menghulurkan makanan dan sedikit wang kepada kanak-kanak yang ada bagi menceriakan mereka pada hari itu. Lawatan kami di sekitar kawasan tersebut mengambil masa lebih kurang 3 jam.






 

Disebabkan masa tidak mengizinkan dan hampir tengah hari kami pergi ke Kampung Klang Sbek pula bagi menjalankan aktiviti mengikut jadual yang telah diatur. Kami memulakan dengan sukaneka bersama kanak-kanak dan memberikan sumbangan alat tulis dan makanan kepada mereka. Setelah itu, gotong-royong memasak bersama penduduk kampung untuk hidangan makanan tengah hari bersama penduduk kampung dan juga untuk majlis di petang hari. Tengah hari itu kami makan bersama anak-anak dan penduduk kampung tersebut.





Setelah selesai solat Jumaat, diadakan pula Majlis Perasmian Program Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali yang dirasmikan oleh Kedutaan Besar Malaysia Ke Kemboja Dato’ Sri Hasan Malek. Majlis berjalan lancar sepanjang keberadaan Dato’ Sri Hasan Malek. Kami telah membawa beliau bertemu penduduk kampung dan melawat beberapa tapak di kampung tersebut.





\




Selesai solat maghrib bersama, kami kemudian bertolak ke Bandar Phnom Penh. Sekitar jam 8.30 malam kami tiba dan berehat di sebuah hotel sekitar Bandar. Tiada aktiviti rasmi dilakukan memandangkan malam ini telah dikhaskan untuk melakukan aktiviti bebas. Kami membersihkan diri dan berehat seketika.

Kemudiannya, saya dan beberapa orang sahabat telah bersetuju dan mengambil peluang untuk bersiar-siar sekitar bandar. Kami singgah di sebuah restoran halal bagi menjamah sedikit makanan kemudiannya menaiki tuk-tuk untuk melawat sekitar bandar Phnom Penh. Setelah kepenatan kami pulang dan berehat di hotel semula.



23 Julai 2016 (Sabtu)
Kami telah dikejutkan seawal 6.00 pagi waktu Malaysia. Kami bersiap dan kemudiannya pergi menjamah di sebuah restoran halal. Kami pergi ke Restoran Halal yang semalamnya telah kami kunjungi memandangkan tidak banyak pilihan kedai yang boleh dipilih.



Kemudian kami telah dibawa untuk melawat ke Muzium Tuol Sleng Genocide. Di situ, dapat dilihat kesan-kesan tinggalan kekejaman yang dirasai penduduk Kemboja satu ketika dahulu. Kami tidak mempunyai banyak masa di situ hanya lebih kurang satu jam sahaja diperuntukkan kerana perlu bersiap untuk aktiviti seterusnya.





Tepat jam 1.00 petang kami tiba di Kedutaan Malaysia di Kemboja. Majlis Sambutan Hari Raya diadakan di Kedutaan Kemboja. Kami dihidangkan dengan makanan-makanan dan masakan Malaysia. Turut diadakan pertandingan karaoke kepada tetamu yang hadir. Rombongan kami juga turut berkesempatan untuk menyanyi bersama-sama Duta Malaysia di Kemboja.







Setelah majlis selesai kami melawat sekitar bandar Phnom Penh. Kami turut menaiki kapal yang disewa bagi mengelilingi sungai yang menempatkan penduduk-penduduk Islam laut yang hanya menetap dan tinggal dalam sebuah sampan kecil.





Setelah penat kami pulang semula ke tempat penginapan untuk beristirehat. Memandangkan aktiviti penuh pada hari itu, saya hanya duduk di dalam bilik bagi merehatkan diri. Saya hanya keluar untuk mencari makanan untuk mengalas perut bersama rakan sebilik. Kemudiannya kami terus pulang ke bilik dan tidur.



24 Julai 2016 (Ahad)
Pagi itu, saya dan rakan sebilik bangun awal dan mencari kedai untuk mengalas perut. Setelah selesai kami berjalan-jalan di sebuah pasar bagi membeli sedikit cenderahati. Terdapat banyak kain-kain yang dijual dengan harga berpatutan. Kami tidak melepaskan peluang dan masing-masing membeli untuk keluarga.



Disebabkan masa tidak mengizinkan, kami pulang semula ke hotel dan berkemas. Tepat jam 11.30 pagi kami bertolak ke Lapangan Terbang Phnom Penh. Memandangkan masih ada banyak masa, kami hanya singgah makan di sebuah kedai di lapangan terbang tersebut sambil bertukar-tukar gambar. Kemudiannya masing-masing hanya membuat hal sendiri memandangkan semua telah penat.




Kapal terbang berlepas tepat jam 4.45 petang di Phnom Penh. Kami tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur jam 7.30 malam. Selesai mengambil semua barang kami bersalaman dan terus bergerak pulang.

Sekian adalah sedikit sebanyak tentang pengalaman dan cerita saya sepanjang berada di bumi Kemboja. Semoga dapat dijadikan panduan buat kalian yang bakal pergi ke sana.



No comments:

Post a Comment