"Kita hanya akan tersedar dari khayalan dan mimpi siang saat duka datang bertamu."

Monday, December 5, 2016

RUMUSAN ARTIKEL JURNAL BIDANG BAHASA DAN SASTERA

Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu
Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 5, Tahun 2007

Siti Khariah Mohd Zubir


Jurnal ini merupakan hasil kajian oleh Siti Khariah Mohd Zubir yang bertajuk Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu. Perbincangan dalam  jurnal ini adalah untuk memberi gambaran yang jelas tentang peranan bahasa dan sastera dalam kehidupan seharian. Bahasa Melayu mempunyai nilai sastera, budaya dan agama yang sangat tinggi. Selain itu, semangat dan nilai yang terdapat dalam Bahasa Melayu  juga boleh menjadi pendorong untuk menggerakkan perkembangan ilmu pengetahuan.

Kajian beliau ini juga disokong dengan hujah oleh Collins (1999) dan Awang Sariyan (2000) yang menyatakan bahawa kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan ke-17, telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatic, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa sastera. Perkaitan antara bahasa dan sastera tidak dapat dinafikan lagi.

Berdasarkan tajuk fokus kajian, jurnal ini ditujukan kepada seluruh lapisan dan golongan rakyat Malaysia dalam  penggunaan bahasa seharian samada percakapan atau pertuturan mahupun secara bertulis. Oleh itu, peranan-peranan bahasa dan sastera haruslah diperhalusi dan diteliti agar setiap masyarakat menjaga, menghargai dan mencintai bahasa Melayu dan agar bahasa ini terjaga dan tidak ditelan arus zaman.

Secara keseluruhannya, jurnal ini cuba untuk menyampaikan bahasa dan sastera mempunyai hubung kait yang sangat kuat terutamanya dari segi peranannya. Peranan bahasa dan sastera ini jika digunakan dengan betul dapat meningkatkan nilai bahasa itu sendiri selain masyarakat akan lebih menghargai bahasa Melayu ini.

Menurut A.Aziz Deraman (2006) dipetik daripada kertas kerja yang bertajuk “Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Menghadapi Wawasan 2020” menyatakan bahawa kegemilangan bukan sahaja terserlah di kalangan 200 juta orang umat berbahasa Melayu di rantau ini, bahkan dalam perspektif yang lebih luas meletakkannya di pentas dunia.

Menurut Mohd Yusof Haji Othman pula menyatakan bahawa bahasa tidak mungkin dipisahkan daripada amalan hidup seseorang. Bahasa bukan semata-mata alat komunikasi tetapi jauh daripada itu. Bahasa ialah pembina budaya dan pandangan alam seseorang.
Bahasa Melayu adalah bahasa negara dan berfungsi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, maka statusnya menjadi amat penting sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan kebangsaan. Fungsi bahasa Melayu dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan penegasan perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Bahasa Melayu telah Berjaya diangkat dan bertindak sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu digunakan di peringkat sekolah rendah, menengah dan sebahagian besar daripada pengajian di peringkat tinggi.

Menurut penulis, Bahasa Melayu digunapakai sebagai beberapa undang-undang dan digunakan juga dalam peraturan-peraturan pejabat. Secara ringkas, undang-undang Malaysia menetapkan tiga undang-undang yang berkaitan dengan bahasa. Pertama, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi Negara Malaysia, Kedua, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ketiga, rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.

Bahasa Melayu juga berpengaruh dalam memupuk kesenian bangsa dengan penghayatan dan penyertaan yang menyeluruh. Bahasa memupuk resam, nilai dan norma sesuatu bangsa. Dalam situasi politik, ekonomi dan sosial yang berubah, bahasa tetap mampu mengisi keperluan sesebuah tamadun.

Peranan sastera pula terutamanya sastera Melayu dapay membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina ‘modal insan’ yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara.

Selain itu, ia juga berperanan dalam usaha pengayaan khazanah ilmu dan persuratan bahasa Melayu wajar dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajaran. Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama dasar pentadbiran negara.

Menurut Shahnon Ahmad (1997), kesusateraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran.


BAHASA DAN SASTERA UMPAMA IRAMA DAN LAGU

            Bahasa dan sastera umpama irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan di antara satu sama lain. Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu mula bergerak seiring apabila Jepun  mengambil alih tampuk pemerintahan sama ada di Tanah Melayu ataupun di Singapura. Kekalahan Kerajaan Inggeris dan kekejaman pemerintahan Jepun telah menyalakan semangat kebangsaan.

            Menurut penulis, ilmu sastera tidak boleh disampaikan melalui ragam bahasa rendah. Oleh itu, untuk memahami, mempelajari dan mentelaah karya sastera memerlukan ilmu bantu iaitu bahasa yang merangkumi semantik, mantik, psikologi, linguistic dan sebagainya.

            Menurut Awang Sariyan (2006), terdapat hubungan antara ilmu bahasa dengan penghasilan karya kreatif. Ilmu bahasa sebenarnya mempunyai pertalain yang amat erat dengan penghasilan karya kreatif dan oleh sebab itu tidak harus dianggap sebagai batu penghalang dalam usaha menonjolkan gaya bahasa yang indah.

            Sebagai seorang penulis, mereka perlu menguasai beberapa aspek bahasa seperti morfologi, sintaksis, fonologi dan semantik. Keempat-empat aspek tersebut sebenarnya digunakan oleh para penulis setiap kali mereka berkarya. Secara ringkasnya, morfologi ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan kata, sintaksis ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan ayat sementara fonologi pula ialah bidang yang berhubung dengan sistem bunyi sesuatu bahasa dan semantik ialah bidang yang berhubung dengan makna.

            Dengan ilmu bahasa, morfologi ialah bidang ilmu tentang pembentukan kata. Dalam setiap bahasa, ada dua unit morfologi iaitu morfen dan kata. Morfen pula terbahagi kepada dua iaitu morfen bebas dan morfen terikat. Morfen bebas ialah morfen yang dapat berdiri sendiri sementara morfen terikat pula ialah morfen yang tidak dapat wujud sendiri dan hanya dapat berfungsi jika digabungkan dengan morfen bebas. Kata pula terbentuk daripada satu morfen sahaja dapatlah dianggap morfen bebas. Tiga proses bahasa berlaku dalam morfologi iaitu pengimbuhan, penggandaan dan penggabungan.


KESIMPULAN

            Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa dan kesusasteraan akan mengajak kita untuk berpadu tenaga membina, memupuk dan mengembangkannya. Oleh itu, peranan bahasa dan sastera umpama irama dan lagu. Kata sepakat antara bahasa dan sastera akan mampu menunjukkan fikiran, kreativiti dan aktiviti.

            Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu berperanan menggerakkan kehidupan kebudayaan bangsanya meliputi akal fikiran dan daya ciptaan dalam segala tuntutan dan keperluan.

RUMUSAN ARTIKEL JURNAL BIDANG KOMUNIKASI

Eksistensi Konsep Birokrasi Max Weber Dalam Reformasi Birokrasi Di Indonesia
Jurnal TAPIs Vol.7 No.13 Julai-Disember 2011

Ali Abdul Wakhid


 Jurnal ini merupakan hasil kajian oleh Ali Abdul Wakhid yang bertajuk Eksistensi Konsep Birokrasi Max Weber Dalam Reformasi Birokrasi Di Indonesia. Perbincangan dalam jurnal ini adalah untuk memberi gambaran yang jelas tentang reformasi birokrasi yang perlu dilakukan di Indonesia berlandaskan teori birokrasi (Max Weber Theory of Bureaucracy) bagi mencapai tahap pemerintahan yang baik. Teori Max Weber (1947) ini adalah teori di mana menurut beliau ialah melahirkan satu generasi pengurus yang mempercayai bahawa organisasi dapat diperkukuhkan melalui tindakan rasional, seperti pengukuhan struktur melalui hierarki kawalan dan peraturan.

Kajian beliau ini juga disokong dengan hujah-hujah untuk melakukan pembaharuan dan perubahan terhadap sistem penyelenggaraan pemerintahan terutamanya dalam aspek organisasi, pengurusan, dan sumber manusia. Pelbagai masalah dan halangan yang mengakibatkan sistem pengurusan pemerintahan tidak berjalan dengan baik perlulah diperbaharui semula sistem birokrasinya. Dengan kata lain reformasi birokrasi adalah langkah yang teratur ataupun strategi untuk menguruskan sesebuah negara dengan lebih baik disamping mencapai matlamat dan tujuan yang dituju.

Berdasarkan tajuk fokus kajian, jurnal ini ditujukan kepada seluruh rakyat Indonesia termasuk golongan pemerintah terhadap konsep birokrasi ke arah pemerintahan yang lebih baik. Oleh itu, langkah-langkah yang sistematik haruslah dilakukan sejajar dengan konsep yang digunapakai agar tujuan dan sasaran yang telah ditetapkan dapat dicapai.

Secara keseluruhannya, jurnal ini cuba untuk menyampaikan bahawa birokrasi merupakan elemen yang sangat penting bagi sesebuah negara. Kewujudan konsep birokrasi Max Weber dalam pembaharuan birokrasi adalah sebagai panduan untuk penentuan dan pembahagian tugas bagi menguruskan atau mentadbir sesebuah negara. Misalnya di Indonesia sendiri telah mengamalkan konsep birokrasi dalam aspek organisasi, pengurusan, dan sumber manusia.

Menurut Ali Abdul Wakhid sendiri berdasarkan jurnalnya, perilaku birokrasi timbul manakala terjadi interaksi antara karakteristik individu dengan karakteristik birokrasi, apalagi dengan berbagai isu yang berkembang dan penegakan hukum saat ini yang berkaitan dengan patologi birokrasi.’ Beliau juga turut menyatakan bahawa dalam rangka reformasi birokrasi tersebut, pemerintah pusat meregulasi perundang-undangan yang dikenal pilar reformasi birokrasi iaitu: 1) UU Pelayanan Publik; 2) UU Administrasi Pemerintahan; 3) UU Etika Penyelengara Negara; 4) UU Kepiawaian Negara; 5) UU Kementerian Negara; 6) UU Tata Hubungan Kewenangan antara Pemerintah Pusat dan Pemerintah Daerah; 7) UU Badan Layanan Umum/Nirlaba; 8) UU Sistem Pengawasan Nasional; 9) UU Akuntabilitas Penyelenggara Negara.’ Di sini jelas kelihatan bahawa penulis mengaitkan dengan teori birokrasi Max Weber yang mana beliau telah membezakan konsep kuasa dan autoriti serta hubungan antara kedua-duanya dalam sesuatu pengurusan.

Menurut Weber (1947), kuasa adalah kebolehan seseorang pemimpin menguasai orang lain supaya patuh kepadanya. Autoriti pula bermakna kebolehan seseorang mempengaruhi orang lain mengikut arahannya secara sukarela. Dalam sistem autoriti, orang bawahan akan menganggap bahawa pihak atasan mempunyai hak kuasa sah untuk memberi arahan kepada orang bawahan.

Menurut penulis lagi, terdapat beberapa ciri yang menonjol dari konsep birokrasi Max Weber ini iaitu pertamanya satu struktur kawalan hierarki yang bertujuan menurunkan kuasa dan autoriti daripada pihak atasan organisasi kepada pihak bawahan. Kedua ialah satu siri jawatan atau pejabat yang mana setiap individu mempunyai tugas dan tanggungjawab yang telah ditentukan. Ketiga ialah satu kesatuan peraturan, undang-undang dan tatacara kerja yang khas untuk mengawal tindakan dan kegiatan ahli-ahlinya yang bertujuan menyelaraskan kendalian organisasi tersebut. Keempat ialah system kepakaran kakitangan yang diambil bekerja secara tetap dan berbentuk kerjaya. Menurut sistem ini, ganjaran atau kenaikan pangkat semata-mata berdasarkan kemahiran dan prestasi kerja dan yang terakhir ialah hubungan antara ahli yang lebih bersifat impersonal.

Selain itu, menurut penulis dalam sistem pemerintahan terdapat tiga perkara asas iaitu autoriti tradisional, autoriti karismatik dan rational-legal autoriti. Menurut Max Weber, autoriti ini berasaskan perundangan yang mana merupakan jenis kuasa yang mendominasi organisasi. Birokrasi merupakan satu sistem tertutup yang dikawal oleh autoriti kekuasaan perundangan atau peraturan yang diamalkan oleh sesebuah negara mahupun organisasi.

Organisasi, pentadbiran dan birokrasi adalah satu sistem. Dalam sesebuah organisasi misalnya pasti mempunyai ahli-ahli dengan sikap dan tingkah laku tertentu dalam usaha untuk bekerja bersama-sama untuk mencapai matlamat tertentu. Manakala pentadbiran adalah sistem yang dibuat bagi memudahkan usaha-usaha untuk mencapai matlamat organisasi. Begitu juga, birokrasi adalah satu sistem yang digunapakai untuk memahami tingkah laku dalam organisasi yang berkenaan rasional untuk mencapai objektif organisasi secara berkesan.

Tingkah laku merupakan fungsi interaksi antara individu dan persekitaran yang diambil dari rumusan atau formula psikologi. Oleh itu, birokrasi dasarnya adalah hasil daripada interaksi antara individu dengan organisasi.

Walaupun birokrasi adalah suatu sistem untuk menyusun semula organisasi tetapi ciri-ciri seperti kekerapan perkiraan yang terkandung dalam hierarki, pembahagian kerja, tugas, kuasa, tanggungjawab, sistem gaji dan sistem kawalan yang lain dan sebagainya juga adalah penting.

Pembaharuan birokrasi adalah salah satu pembaharuan pentadbiran. Perkara yang paling utama dalam sesebuah pembaharuan adalah tadbir urus yang baik, yang merupakan salah satu dasar utamanya adalah birokrasi yang baik. Dengan tadbir urus yang baik dan disokong oleh birokrasi yang sesuai dengan tuntutan abad ke-21 dapat direalisasikan kerajaan yang berterusan untuk menjalankan mandat rakyat. Ini adalah selaras dengan tujuan pembaharuan birokrasi adalah untuk merealisasikan tadbir urus yang baik, selain dibantu oleh profesional dan bebas daripada rasuah dan meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai untuk mencapai perkhidmatan yang cemerlang.

Menurut penulis juga, ternyata bahawa kerajaan Indonesia telah menggunakan konsep Max Weber tersebut, walaupun masih tidak membuahkan sebarang hasil sebagai matlamat dan objektif pembaharuan birokrasi.
  

KELEBIHAN DAN KELEMAHAN KONSEP BIROKRASI MAX WEBER

Birokrasi adalah satu bentuk organisasi, yang telah dilantik pada alasan keunggulan teknikal, di mana organisasi yang memerlukan penyelarasan yang ketat, kerana melibatkan begitu ramai orang yang mempunyai kemahiran dalam berbagai bidang.

Terdapat beberapa kelebihan dalam konsep birokrasi Max Weber ini. Antaranya ialah Teori Max Weber berkenaan birokrasi dapat digunapakai dalam soal pemerintahan dan politik. Selain itu, konsep yang sedia ada ini boleh dijadikan sebagai garis panduan untuk melakukan sebarang pembaharuan dalam system birokrasi.

Namun, terdapat juga beberapa kelemahan terhadap konsep birokrasi Max Weber ini. Antaranya ialah konsep ini terlampau memberi penekanan dan tumpuan terhadap aspek rasional, impersonal dan hierarki. Selain itu, kecenderungan birokrat untuk menyalahgunakan tujuan-tujuan organisasi ditubuhkan adalah tinggi.


KESIMPULAN
            
Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa sistem birokrasi merupakan elemen yang sangat penting bagi sesebuah negara. Struktur birokrasi boleh mempercepatkan proses pembuatan keputusan serta meletakkan tiap-tiap individu dalam organisasi supaya mereka menyedari kedudukan mereka.

            Berdasarkan teori Max Weber ini dapatlah dijelaskan bahawa pengurusan merupakan satu kaedah atau cara yang bersistem serta memerlukan kemahiran dari segi teknik dan dari segi kemahiran manusia serta kemahiran dari segi konsep.

ULASAN FILEM PEKAK


Kali ini saya telah diberi tugasan untuk mengulas berkaitan sebuah filem tempatan yang telah ditayangkan.

Tahun ini, terdapat berbagai-bagai filem yang telah ditayangkan. Ada yang melibatkan genre seram, romantik, kelakar dan banyak lagi. Bagi sutradara baru iaitu Mohd Khairul Azri (Kroll Azry), tuah agak menyebelahi beliau apabila filem arahan sulungnya Pekak telah mendapat sambutan dan perhatian yang agak menggalakkan dari penduduk tempatan.

Filem ini juga telah mendapat pengiktirafan dan dipilih untuk ditayangkan di Cannes di pentas Marche du Film 2016 dan tayangan perdananya di World Premieres Film Festival Philippines pada tahun 2015.

Filem ini juga telah mengundang pelbagai persepsi dari setiap golongan masyarakat. Filem ini berjaya mengundang huru-hara dan menjadi sebutan setiap lapisan dan golongan masyarakat. Saya juga telah menonton filem ini pada 5 September 2016 yang lalu dan bagi saya sendiri ia adalah sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton.

Pekak mengisahkan Uda seorang yang pekak lakonan Zahiril Adzim  telah digunakan Joe Flizzow untuk menjual dan mengedar dadah demi mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan kokleanya. Kegiatan Uda telah dikaburi secara tidak sengaja dengan kad OKU yang dimilikinya. Joe Flizzow yang memainkan watak sebagai tokan menggunakan kelebihan yang ada Uda bagi menjalankan bisnesnya dengan jayanya dan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Uda kemudiannya bertemu Dara lakonan Sharifah Amani iaitu seorang pelajar sekolah yang bermasalah, yang mencari ruang agar isi hatinya didengari dan masih mencari arah tujuan hidupnya. Tanpa sedar rasa cinta mula timbul antara mereka apabila Dara merasakan Uda sentiasa memahami dan mendengar segala suara hatinya. Namun seperti semua kisah cinta, percintaan mereka terhalang oleh dunia dan budaya masyarakat hedonistik seks dan dadah.

Melur lakonan Sharifah Sakinah pula merupakan kawan baik kepada Dara. Melur merupakan seorang gadis muda yang menjalani kehidupan bebas selepas tamat belajar. Melur menjalinkan hubungan dengan seorang penagih dadah iaitu Azman Picasso lakonan Amerul Affendi. Kamil pula lakonan Iedil Putra adalah seorang yang berada dan berusaha untuk memenangi hati Dara serta mahu menidurinya. Kamil juga sanggup  menampung segala keperluan Azman hanya untuk mendapatkan Dara.

Bagi saya, filem ini menjadi sebutan ramai kerana ia bukanlah sebuah filem yang memberi pengajaran moral ataupun untuk berdakwah, tetapi filem ini menjadi kontroversi kerana temanya yang ditonjolkan secara berani dan terbuka. Ia benar-benar masuk ke dalam masyarakat sama ada yang menerima, menolak, membahaskan secara emosi, secara ilmiah mahupun dari segi agama, menghukum, mengkritik dan banyak lagi.

Disebabkan hampir keseluruhan jalan cerita filem ini ‘pekak’, makanya pemerhatian terhadap watak Uda haruslah ditekankan bagi membaca, memahami dan mendalami wataknya. Antara babak yang agak menarik bila mana Uda menggunakan pin nama Dara bagi menutup bahagian baju Dara yang terkoyak di bahagian belakang. Jika dibandingkan dengan filem-filem lain, kebiasaannya jaket akan digunakan bagi menutup koyak tersebut tetapi dalam filem ini pengarahnya telah menunjukkan satu sisi yang baru.

Kisah cinta Uda dan Dara yang klasik dihidupkan dengan gaya modern yang sangat segar. Kisah mereka tidak lari dari dunia realiti dan masih berpijak di dunia yang nyata. Kehidupan remaja yang penuh dengan aktiviti tidak sihat juga dapat dilihat dalam kisah percintaan antara Melur dan Azman Picasso.

Selain itu, parti liar yang biasanya ditayangkan akan dibuat di kelab-kelab malam tetapi melalui filem ini parti tersebut diadakan di rumah orang yang berada seperti Kamil. Hakikatnya, kini kebiasaanya parti-parti liar biasanya dilakukan dan dianjurkan oleh anak-anak orang kaya. Di sini kita dapat lihat bahawa aktiviti liar dan tidak sihat itu sebenarnya tidak semestinya bermula dari luar rumah tetapi boleh juga berlaku dari rumah sendiri.

Watak Azman Picasso yang merupakan seorang penagih boleh diberikan penghargaan kerana watak beliau benar-benar hidup. Sikap dan gayanya yang menunjukkan sebagai seorang penagih benar-benar menunjukkan bahawa beliau telah mendalami watak tersebut sebelum melakonkannya. Azman sering berkhayal akan kehadiran Melur dan banyak lagi adegan-adegan khayalannya. Wataknnya juga berjaya mengisi ruang dan menghidupkan suasana yang hampir sepi melebihi watak Uda sendiri.

Melalui filem ini juga, dapat dilihat Dara, naif dalam mencari ruang untuk suaranya didengari manakala Melor pula naif dalam mencari ruang untuk dirinya memberontak sementara Kamil naif dalam meneroka rasa sensual dirinya. Uda walaupun agak matang dalam filem ini, ternyata memilih jalan yang salah dalam memenuhi kehendaknya hingga mengorbankan orang yang disayanginya dan watak Azman yang juga kelihatan matang tetapi terlampau menghambakan dirinya dengan dadah.

Watak-watak yang ditonjolkan melalui filem Pekak ini menunjukkan mereka sebenarnya tersalah menilai dan tersalah memilih sedangkan mereka masih mempunyai pilihan lain yang mana akhirnya menjerat diri sendiri sama ada untuk menjadi mangsa diri sendiri atau mangsa orang lain.

Selain pengarahan dan pembentukan naratif ekspresif yang baik, barisan pelakon-pelakonnya juga berjaya menghidupkan hubungan antara watak-watak dalam filem ini.

Sebagai pembikin filem yang baru, Khairul Azri berjaya memberikan nafas baru dalam filem tempatan. Semoga dengan kehadiran pengarah baru serta barisan pembikin filem Malaysia yang baru akan dapat meneruskan perkembangan bentuk dan idea dalam filem tempatan.



DARI MALAYSIA KE KEMBOJA



Ini adalah catatan perjalanan saya bersama-sama rakan sekelas Semester 4 Sesi April 2016/2017 Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur (UUM KL) dalam menjayakan satu program kemasyarakatan.

Tanggal 21 Julai 2016-24 Julai 2016 yang lalu, kami telah menjejakkan kaki ke tanah Kemboja. Misi utama kami berada di sana adalah untuk menjayakan dan menyempurnakan satu program kemasyarakatan yang diberi nama Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali.

Sepanjang keberadaan kami di sana, kami dibantu oleh Ustaz Abdul Samad Bin Yusof dalam menjalankan segala aktiviti yang telah dirancang. Program ini turut mendapat kerjasama dari agensi-agensi luar yang prihatin dalam usaha menjayakan program ini. Selain mendapat bantuan kewangan, kami juga mendapat bantuan dari segi pakaian, makanan dan sebagainya.




21 Julai 2016 (Khamis)



Perjalanan bermula dengan berkumpul di KLIA2 pada jam 12.00 tengah hari untuk diberikan taklimat terakhir sebelum berlepas. Kemudiannya kami seramai 33 orang ahli telah bersama-sama membantu bagi menguruskan urusan bagasi yang membawa pelbagai jenis barang seperti bahan-bahan masakan, pakaian-pakaian yang telah disedekahkan dan sebagainya.



Tepat jam 3.45 petang, pesawat AK534 berlepas menuju ke bumi Kemboja. Perjalanan yang mengambil masa selama dua jam membuatkan kami hanya membuat hal masing-masing.




Pesawat selamat mendarat pada jam 5.45 petang di Lapangan Terbang Phnom Penh. Setibanya di sana, kami terus menguruskan bagasi-bagasi yang dibawa dari Malaysia selain turut dibantu oleh wakil Kedutaan Malaysia di Kemboja yang telah maklum akan kedatangan kami. Ketibaan kami di pintu luar lapangan terbang disambut dengan hujan yang agak lebat. Kami juga dikhabarkan bahawa sebelum ini sudah tiga bulan bumi Kemboja tidak dibasahi hujan.

(Ustaz Samad yang sentiasa membantu sepanjang keberadaan kami di sana) 
Kemudiannya, Ustaz Samad terus membawa kami menaiki van-van yang telah disediakan untuk menuju ke rumah rehat pada malam itu.  Namun. terdapat sebuah van yang mengalami sedikit masalah enjin dan menyebabkan kami terpaksa menunggu selama satu jam lebih bagi memastikan semua van bergerak bersama.

Disebabkan masalah yang dihadapi itu, kami tidak mempunyai banyak masa untuk berehat di rumah tamu yang telah disediakan. Perjalanan yang hampir satu jam itu menyebabkan kami mempunyai masa hanya 20 minit sahaja untuk membersihkan diri dan kemudiannya meneruskan aktiviti seterusnya.



Jam 8.30 malam kami tiba di Kampung Klang Sbek Phnom Penh. Kami disambut mesra oleh penduduk Islam kampung tersebut. Kami juga turut disajikan makan malam dengan nasi berlaukkan masakan tradisi Kemboja. Memandangkan semua agak kelaparan pada masa itu, kami semua menikmati makanan dengan berselera sekali walaupun ada sedikit kelainan rasa pada masakan mereka.



Kemudiannya kami bersama-sama membantu penduduk kampung menyediakan bahan-bahan mentah untuk gotong-royong pada keesokkan harinya.

Aktiviti diteruskan dengan penyerahan sumbangan kepada penduduk kampong seperti duit, pakaian, beras, alat tulis dan pelagai lagi. Selesai sesi penyerahan sumbangan kami terus pulang ke rumah tamu untuk beristirehat.







22 Julai 2016 (Jumaat)
Pagi Jumaat ini kami telah dibawa ke sebuah gerai makanan di tepi jalan oleh Ustaz Samad. Kebanyakkan kami telah memilih sup kuetiau sebagai hidangan pada pagi itu. Setelah makanan sampai, masing-masing hanya tersenyum tetapi terpaksa memakannya memandangkan Ustaz Samad telah bersusah payah membawa kami semua ke gerai tersebut. Sup kuetiau yang dihidangkan sebenarnya di Malaysia lebih dikenali sebagai sup bihun. Sup bihun yang dihidangkan dengan dua bebola daging yang sangat besar dan daging-daging dengan potongan yang agak besar serta salad di dalam sup bihun tersebut. Rasanya juga agak lain dan sedikit berbeza dengan lidah Melayu saya. Tetapi, untuk menjaga hati, saya habiskan juga bihun tersebut dan begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.



Kemudiannya kami terus bergerak untuk membuat lawatan ke tempat-tempat pemasangan perigi dan panel solar yang telah disumbangkan. Kami dibawa memasuki jalan-jalan kampung dan bertemu dengan penduduk kampung. Ada juga ahli yang menghulurkan makanan dan sedikit wang kepada kanak-kanak yang ada bagi menceriakan mereka pada hari itu. Lawatan kami di sekitar kawasan tersebut mengambil masa lebih kurang 3 jam.






 

Disebabkan masa tidak mengizinkan dan hampir tengah hari kami pergi ke Kampung Klang Sbek pula bagi menjalankan aktiviti mengikut jadual yang telah diatur. Kami memulakan dengan sukaneka bersama kanak-kanak dan memberikan sumbangan alat tulis dan makanan kepada mereka. Setelah itu, gotong-royong memasak bersama penduduk kampung untuk hidangan makanan tengah hari bersama penduduk kampung dan juga untuk majlis di petang hari. Tengah hari itu kami makan bersama anak-anak dan penduduk kampung tersebut.





Setelah selesai solat Jumaat, diadakan pula Majlis Perasmian Program Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali yang dirasmikan oleh Kedutaan Besar Malaysia Ke Kemboja Dato’ Sri Hasan Malek. Majlis berjalan lancar sepanjang keberadaan Dato’ Sri Hasan Malek. Kami telah membawa beliau bertemu penduduk kampung dan melawat beberapa tapak di kampung tersebut.





\




Selesai solat maghrib bersama, kami kemudian bertolak ke Bandar Phnom Penh. Sekitar jam 8.30 malam kami tiba dan berehat di sebuah hotel sekitar Bandar. Tiada aktiviti rasmi dilakukan memandangkan malam ini telah dikhaskan untuk melakukan aktiviti bebas. Kami membersihkan diri dan berehat seketika.

Kemudiannya, saya dan beberapa orang sahabat telah bersetuju dan mengambil peluang untuk bersiar-siar sekitar bandar. Kami singgah di sebuah restoran halal bagi menjamah sedikit makanan kemudiannya menaiki tuk-tuk untuk melawat sekitar bandar Phnom Penh. Setelah kepenatan kami pulang dan berehat di hotel semula.



23 Julai 2016 (Sabtu)
Kami telah dikejutkan seawal 6.00 pagi waktu Malaysia. Kami bersiap dan kemudiannya pergi menjamah di sebuah restoran halal. Kami pergi ke Restoran Halal yang semalamnya telah kami kunjungi memandangkan tidak banyak pilihan kedai yang boleh dipilih.



Kemudian kami telah dibawa untuk melawat ke Muzium Tuol Sleng Genocide. Di situ, dapat dilihat kesan-kesan tinggalan kekejaman yang dirasai penduduk Kemboja satu ketika dahulu. Kami tidak mempunyai banyak masa di situ hanya lebih kurang satu jam sahaja diperuntukkan kerana perlu bersiap untuk aktiviti seterusnya.





Tepat jam 1.00 petang kami tiba di Kedutaan Malaysia di Kemboja. Majlis Sambutan Hari Raya diadakan di Kedutaan Kemboja. Kami dihidangkan dengan makanan-makanan dan masakan Malaysia. Turut diadakan pertandingan karaoke kepada tetamu yang hadir. Rombongan kami juga turut berkesempatan untuk menyanyi bersama-sama Duta Malaysia di Kemboja.







Setelah majlis selesai kami melawat sekitar bandar Phnom Penh. Kami turut menaiki kapal yang disewa bagi mengelilingi sungai yang menempatkan penduduk-penduduk Islam laut yang hanya menetap dan tinggal dalam sebuah sampan kecil.





Setelah penat kami pulang semula ke tempat penginapan untuk beristirehat. Memandangkan aktiviti penuh pada hari itu, saya hanya duduk di dalam bilik bagi merehatkan diri. Saya hanya keluar untuk mencari makanan untuk mengalas perut bersama rakan sebilik. Kemudiannya kami terus pulang ke bilik dan tidur.



24 Julai 2016 (Ahad)
Pagi itu, saya dan rakan sebilik bangun awal dan mencari kedai untuk mengalas perut. Setelah selesai kami berjalan-jalan di sebuah pasar bagi membeli sedikit cenderahati. Terdapat banyak kain-kain yang dijual dengan harga berpatutan. Kami tidak melepaskan peluang dan masing-masing membeli untuk keluarga.



Disebabkan masa tidak mengizinkan, kami pulang semula ke hotel dan berkemas. Tepat jam 11.30 pagi kami bertolak ke Lapangan Terbang Phnom Penh. Memandangkan masih ada banyak masa, kami hanya singgah makan di sebuah kedai di lapangan terbang tersebut sambil bertukar-tukar gambar. Kemudiannya masing-masing hanya membuat hal sendiri memandangkan semua telah penat.




Kapal terbang berlepas tepat jam 4.45 petang di Phnom Penh. Kami tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur jam 7.30 malam. Selesai mengambil semua barang kami bersalaman dan terus bergerak pulang.

Sekian adalah sedikit sebanyak tentang pengalaman dan cerita saya sepanjang berada di bumi Kemboja. Semoga dapat dijadikan panduan buat kalian yang bakal pergi ke sana.