Tugasan ini dibuat khas untuk subjek SCCA2053: Penulisan Korporat sahaja.
Manifestasi Chenta
"Kita hanya akan tersedar dari khayalan dan mimpi siang saat duka datang bertamu."
Friday, August 4, 2017
Monday, December 5, 2016
RUMUSAN ARTIKEL JURNAL BIDANG BAHASA DAN SASTERA
Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu
Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 5, Tahun 2007
Siti Khariah Mohd Zubir
Jurnal ini merupakan hasil kajian oleh Siti
Khariah Mohd Zubir yang bertajuk Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan
Lagu. Perbincangan dalam jurnal ini
adalah untuk memberi gambaran yang jelas tentang peranan bahasa dan sastera dalam
kehidupan seharian. Bahasa Melayu mempunyai nilai sastera, budaya dan agama
yang sangat tinggi. Selain itu, semangat dan nilai yang terdapat dalam Bahasa
Melayu juga boleh menjadi pendorong
untuk menggerakkan perkembangan ilmu pengetahuan.
Kajian beliau ini juga
disokong dengan hujah oleh Collins (1999) dan Awang Sariyan (2000) yang
menyatakan bahawa kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan ke-17, telah
mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa
diplomatic, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama
besar di dunia dan bahasa sastera. Perkaitan antara bahasa dan sastera tidak
dapat dinafikan lagi.
Berdasarkan tajuk fokus
kajian, jurnal ini ditujukan kepada seluruh lapisan dan golongan rakyat Malaysia
dalam penggunaan bahasa seharian samada
percakapan atau pertuturan mahupun secara bertulis. Oleh itu, peranan-peranan
bahasa dan sastera haruslah diperhalusi dan diteliti agar setiap masyarakat
menjaga, menghargai dan mencintai bahasa Melayu dan agar bahasa ini terjaga dan
tidak ditelan arus zaman.
Secara keseluruhannya,
jurnal ini cuba untuk menyampaikan bahasa dan sastera mempunyai hubung kait
yang sangat kuat terutamanya dari segi peranannya. Peranan bahasa dan sastera
ini jika digunakan dengan betul dapat meningkatkan nilai bahasa itu sendiri
selain masyarakat akan lebih menghargai bahasa Melayu ini.
Menurut A.Aziz Deraman
(2006) dipetik daripada kertas kerja yang bertajuk “Bahasa dan Kesusasteraan
Melayu Dalam Menghadapi Wawasan 2020” menyatakan bahawa kegemilangan bukan
sahaja terserlah di kalangan 200 juta orang umat berbahasa Melayu di rantau
ini, bahkan dalam perspektif yang lebih luas meletakkannya di pentas dunia.
Menurut Mohd Yusof Haji
Othman pula menyatakan bahawa bahasa tidak mungkin dipisahkan daripada amalan
hidup seseorang. Bahasa bukan semata-mata alat komunikasi tetapi jauh daripada
itu. Bahasa ialah pembina budaya dan pandangan alam seseorang.
Bahasa Melayu adalah
bahasa negara dan berfungsi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, maka
statusnya menjadi amat penting sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan
kebangsaan. Fungsi bahasa Melayu dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh
Akta Pendidikan 1961, lanjutan penegasan perundangan terhadap Penyata Razak
1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Bahasa Melayu telah Berjaya diangkat dan
bertindak sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu digunakan di peringkat sekolah
rendah, menengah dan sebahagian besar daripada pengajian di peringkat tinggi.
Menurut penulis, Bahasa
Melayu digunapakai sebagai beberapa undang-undang dan digunakan juga dalam
peraturan-peraturan pejabat. Secara ringkas, undang-undang Malaysia menetapkan
tiga undang-undang yang berkaitan dengan bahasa. Pertama, bahasa Melayu menjadi
bahasa kebangsaan bagi Negara Malaysia, Kedua, bahasa Melayu menjadi bahasa
rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun,
Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ketiga, rakyat Malaysia tidak
dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.
Bahasa Melayu juga
berpengaruh dalam memupuk kesenian bangsa dengan penghayatan dan penyertaan
yang menyeluruh. Bahasa memupuk resam, nilai dan norma sesuatu bangsa. Dalam
situasi politik, ekonomi dan sosial yang berubah, bahasa tetap mampu mengisi
keperluan sesebuah tamadun.
Peranan sastera pula
terutamanya sastera Melayu dapay membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal
ini amat bertepatan dengan konsep membina ‘modal insan’ yang diharap-harapkan
oleh pemimpin negara.
Selain itu, ia juga
berperanan dalam usaha pengayaan khazanah ilmu dan persuratan bahasa Melayu
wajar dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajaran.
Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama
dasar pentadbiran negara.
Menurut Shahnon Ahmad
(1997), kesusateraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan
cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada
kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan
peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran.
BAHASA
DAN SASTERA UMPAMA IRAMA DAN LAGU
Bahasa
dan sastera umpama irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan di antara
satu sama lain. Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu mula bergerak seiring
apabila Jepun mengambil alih tampuk
pemerintahan sama ada di Tanah Melayu ataupun di Singapura. Kekalahan Kerajaan
Inggeris dan kekejaman pemerintahan Jepun telah menyalakan semangat kebangsaan.
Menurut
penulis, ilmu sastera tidak boleh disampaikan melalui ragam bahasa rendah. Oleh
itu, untuk memahami, mempelajari dan mentelaah karya sastera memerlukan ilmu
bantu iaitu bahasa yang merangkumi semantik, mantik, psikologi, linguistic dan
sebagainya.
Menurut
Awang Sariyan (2006), terdapat hubungan antara ilmu bahasa dengan penghasilan
karya kreatif. Ilmu bahasa sebenarnya mempunyai pertalain yang amat erat dengan
penghasilan karya kreatif dan oleh sebab itu tidak harus dianggap sebagai batu
penghalang dalam usaha menonjolkan gaya bahasa yang indah.
Sebagai
seorang penulis, mereka perlu menguasai beberapa aspek bahasa seperti
morfologi, sintaksis, fonologi dan semantik. Keempat-empat aspek tersebut
sebenarnya digunakan oleh para penulis setiap kali mereka berkarya. Secara
ringkasnya, morfologi ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan kata,
sintaksis ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan ayat sementara
fonologi pula ialah bidang yang berhubung dengan sistem bunyi sesuatu bahasa
dan semantik ialah bidang yang berhubung dengan makna.
Dengan
ilmu bahasa, morfologi ialah bidang ilmu tentang pembentukan kata. Dalam setiap
bahasa, ada dua unit morfologi iaitu morfen dan kata. Morfen pula terbahagi
kepada dua iaitu morfen bebas dan morfen terikat. Morfen bebas ialah morfen
yang dapat berdiri sendiri sementara morfen terikat pula ialah morfen yang
tidak dapat wujud sendiri dan hanya dapat berfungsi jika digabungkan dengan
morfen bebas. Kata pula terbentuk daripada satu morfen sahaja dapatlah dianggap
morfen bebas. Tiga proses bahasa berlaku dalam morfologi iaitu pengimbuhan,
penggandaan dan penggabungan.
KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa dan kesusasteraan akan
mengajak kita untuk berpadu tenaga membina, memupuk dan mengembangkannya. Oleh
itu, peranan bahasa dan sastera umpama irama dan lagu. Kata sepakat antara
bahasa dan sastera akan mampu menunjukkan fikiran, kreativiti dan aktiviti.
Bahasa
Melayu dan Kesusasteraan Melayu berperanan menggerakkan kehidupan kebudayaan
bangsanya meliputi akal fikiran dan daya ciptaan dalam segala tuntutan dan
keperluan.
RUMUSAN ARTIKEL JURNAL BIDANG KOMUNIKASI
Eksistensi Konsep Birokrasi Max Weber Dalam Reformasi Birokrasi Di Indonesia
Jurnal TAPIs Vol.7 No.13 Julai-Disember 2011
Jurnal TAPIs Vol.7 No.13 Julai-Disember 2011
Ali Abdul Wakhid
Jurnal ini merupakan hasil kajian oleh Ali
Abdul Wakhid yang bertajuk Eksistensi
Konsep Birokrasi Max Weber Dalam Reformasi Birokrasi Di Indonesia.
Perbincangan dalam jurnal ini adalah untuk memberi gambaran yang jelas tentang
reformasi birokrasi yang perlu dilakukan di Indonesia berlandaskan teori
birokrasi (Max Weber Theory of Bureaucracy) bagi mencapai tahap pemerintahan
yang baik. Teori Max Weber (1947) ini adalah teori di mana menurut beliau ialah
melahirkan satu generasi pengurus yang mempercayai bahawa organisasi dapat
diperkukuhkan melalui tindakan rasional, seperti pengukuhan struktur melalui
hierarki kawalan dan peraturan.
Kajian beliau ini juga
disokong dengan hujah-hujah untuk melakukan pembaharuan dan perubahan terhadap
sistem penyelenggaraan pemerintahan terutamanya dalam aspek organisasi,
pengurusan, dan sumber manusia. Pelbagai masalah dan halangan yang
mengakibatkan sistem pengurusan pemerintahan tidak berjalan dengan baik
perlulah diperbaharui semula sistem birokrasinya. Dengan kata lain reformasi
birokrasi adalah langkah yang teratur ataupun strategi untuk menguruskan
sesebuah negara dengan lebih baik disamping mencapai matlamat dan tujuan yang
dituju.
Berdasarkan tajuk fokus
kajian, jurnal ini ditujukan kepada seluruh rakyat Indonesia termasuk golongan
pemerintah terhadap konsep birokrasi ke arah pemerintahan yang lebih baik. Oleh
itu, langkah-langkah yang sistematik haruslah dilakukan sejajar dengan konsep
yang digunapakai agar tujuan dan sasaran yang telah ditetapkan dapat dicapai.
Secara keseluruhannya,
jurnal ini cuba untuk menyampaikan bahawa birokrasi merupakan elemen yang
sangat penting bagi sesebuah negara. Kewujudan konsep birokrasi Max Weber dalam
pembaharuan birokrasi adalah sebagai panduan untuk penentuan dan pembahagian
tugas bagi menguruskan atau mentadbir sesebuah negara. Misalnya di Indonesia
sendiri telah mengamalkan konsep birokrasi dalam aspek organisasi, pengurusan,
dan sumber manusia.
Menurut Ali Abdul
Wakhid sendiri berdasarkan jurnalnya, perilaku birokrasi timbul manakala
terjadi interaksi antara karakteristik individu dengan karakteristik birokrasi,
apalagi dengan berbagai isu yang berkembang dan penegakan hukum saat ini yang
berkaitan dengan patologi birokrasi.’ Beliau juga turut menyatakan bahawa dalam
rangka reformasi birokrasi tersebut, pemerintah pusat meregulasi
perundang-undangan yang dikenal pilar reformasi birokrasi iaitu: 1) UU
Pelayanan Publik; 2) UU Administrasi Pemerintahan; 3) UU Etika Penyelengara
Negara; 4) UU Kepiawaian Negara; 5) UU Kementerian Negara; 6) UU Tata Hubungan
Kewenangan antara Pemerintah Pusat dan Pemerintah Daerah; 7) UU Badan Layanan
Umum/Nirlaba; 8) UU Sistem Pengawasan Nasional; 9) UU Akuntabilitas
Penyelenggara Negara.’ Di sini jelas kelihatan bahawa penulis mengaitkan dengan
teori birokrasi Max Weber yang mana beliau telah membezakan konsep kuasa dan
autoriti serta hubungan antara kedua-duanya dalam sesuatu pengurusan.
Menurut Weber (1947),
kuasa adalah kebolehan seseorang pemimpin menguasai orang lain supaya patuh
kepadanya. Autoriti pula bermakna kebolehan seseorang mempengaruhi orang lain
mengikut arahannya secara sukarela. Dalam sistem autoriti, orang bawahan akan
menganggap bahawa pihak atasan mempunyai hak kuasa sah untuk memberi arahan
kepada orang bawahan.
Menurut penulis lagi,
terdapat beberapa ciri yang menonjol dari konsep birokrasi Max Weber ini iaitu
pertamanya satu struktur kawalan hierarki yang bertujuan menurunkan kuasa dan
autoriti daripada pihak atasan organisasi kepada pihak bawahan. Kedua ialah
satu siri jawatan atau pejabat yang mana setiap individu mempunyai tugas dan
tanggungjawab yang telah ditentukan. Ketiga ialah satu kesatuan peraturan,
undang-undang dan tatacara kerja yang khas untuk mengawal tindakan dan kegiatan
ahli-ahlinya yang bertujuan menyelaraskan kendalian organisasi tersebut.
Keempat ialah system kepakaran kakitangan yang diambil bekerja secara tetap dan
berbentuk kerjaya. Menurut sistem ini, ganjaran atau kenaikan pangkat
semata-mata berdasarkan kemahiran dan prestasi kerja dan yang terakhir ialah
hubungan antara ahli yang lebih bersifat impersonal.
Selain itu, menurut
penulis dalam sistem pemerintahan terdapat tiga perkara asas iaitu autoriti
tradisional, autoriti karismatik dan rational-legal autoriti. Menurut Max
Weber, autoriti ini berasaskan perundangan yang mana merupakan jenis kuasa yang
mendominasi organisasi. Birokrasi merupakan satu sistem tertutup yang dikawal
oleh autoriti kekuasaan perundangan atau peraturan yang diamalkan oleh sesebuah
negara mahupun organisasi.
Organisasi, pentadbiran
dan birokrasi adalah satu sistem. Dalam sesebuah organisasi misalnya pasti
mempunyai ahli-ahli dengan sikap dan tingkah laku tertentu dalam usaha untuk
bekerja bersama-sama untuk mencapai matlamat tertentu. Manakala pentadbiran adalah
sistem yang dibuat bagi memudahkan usaha-usaha untuk mencapai matlamat
organisasi. Begitu juga, birokrasi adalah satu sistem yang digunapakai untuk
memahami tingkah laku dalam organisasi yang berkenaan rasional untuk mencapai
objektif organisasi secara berkesan.
Tingkah laku merupakan
fungsi interaksi antara individu dan persekitaran yang diambil dari rumusan
atau formula psikologi. Oleh itu, birokrasi dasarnya adalah hasil daripada
interaksi antara individu dengan organisasi.
Walaupun birokrasi
adalah suatu sistem untuk menyusun semula organisasi tetapi ciri-ciri seperti
kekerapan perkiraan yang terkandung dalam hierarki, pembahagian kerja, tugas,
kuasa, tanggungjawab, sistem gaji dan sistem kawalan yang lain dan sebagainya
juga adalah penting.
Pembaharuan birokrasi
adalah salah satu pembaharuan pentadbiran. Perkara yang paling utama dalam
sesebuah pembaharuan adalah tadbir urus yang baik, yang merupakan salah satu
dasar utamanya adalah birokrasi yang baik. Dengan tadbir urus yang baik dan
disokong oleh birokrasi yang sesuai dengan tuntutan abad ke-21 dapat
direalisasikan kerajaan yang berterusan untuk menjalankan mandat rakyat. Ini
adalah selaras dengan tujuan pembaharuan birokrasi adalah untuk merealisasikan
tadbir urus yang baik, selain dibantu oleh profesional dan bebas daripada
rasuah dan meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai untuk mencapai
perkhidmatan yang cemerlang.
Menurut penulis juga,
ternyata bahawa kerajaan Indonesia telah menggunakan konsep Max Weber tersebut,
walaupun masih tidak membuahkan sebarang hasil sebagai matlamat dan objektif
pembaharuan birokrasi.
KELEBIHAN
DAN KELEMAHAN KONSEP BIROKRASI MAX WEBER
Birokrasi adalah satu bentuk organisasi, yang telah dilantik pada alasan keunggulan teknikal, di mana organisasi yang memerlukan penyelarasan yang ketat, kerana melibatkan begitu ramai orang yang mempunyai kemahiran dalam berbagai bidang.
Terdapat beberapa
kelebihan dalam konsep birokrasi Max Weber ini. Antaranya ialah Teori Max Weber
berkenaan birokrasi dapat digunapakai dalam soal pemerintahan dan politik.
Selain itu, konsep yang sedia ada ini boleh dijadikan sebagai garis panduan
untuk melakukan sebarang pembaharuan dalam system birokrasi.
Namun, terdapat juga
beberapa kelemahan terhadap konsep birokrasi Max Weber ini. Antaranya ialah
konsep ini terlampau memberi penekanan dan tumpuan terhadap aspek rasional,
impersonal dan hierarki. Selain itu, kecenderungan birokrat untuk
menyalahgunakan tujuan-tujuan organisasi ditubuhkan adalah tinggi.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa sistem birokrasi merupakan elemen yang sangat penting bagi sesebuah negara. Struktur birokrasi boleh mempercepatkan proses pembuatan keputusan serta meletakkan tiap-tiap individu dalam organisasi supaya mereka menyedari kedudukan mereka.
Berdasarkan
teori Max Weber ini dapatlah dijelaskan bahawa pengurusan merupakan satu kaedah
atau cara yang bersistem serta memerlukan kemahiran dari segi teknik dan dari
segi kemahiran manusia serta kemahiran dari segi konsep.
ULASAN FILEM PEKAK
Kali ini saya telah diberi tugasan untuk mengulas berkaitan sebuah filem tempatan yang telah ditayangkan.
Tahun
ini, terdapat berbagai-bagai filem yang telah ditayangkan. Ada yang melibatkan genre
seram, romantik, kelakar dan banyak lagi. Bagi sutradara baru iaitu Mohd Khairul
Azri (Kroll Azry), tuah agak menyebelahi beliau apabila filem arahan sulungnya
Pekak telah mendapat sambutan dan perhatian yang agak menggalakkan dari
penduduk tempatan.
Filem
ini juga telah mendapat pengiktirafan dan dipilih untuk ditayangkan di Cannes
di pentas Marche du Film 2016 dan tayangan perdananya di World Premieres Film
Festival Philippines pada tahun 2015.
Filem
ini juga telah mengundang pelbagai persepsi dari setiap golongan masyarakat. Filem ini
berjaya mengundang huru-hara dan menjadi sebutan setiap lapisan dan golongan
masyarakat. Saya juga telah menonton filem ini pada 5 September 2016 yang lalu
dan bagi saya sendiri ia adalah sebuah filem yang sangat menarik untuk ditonton.
Pekak
mengisahkan Uda seorang yang pekak lakonan Zahiril Adzim telah digunakan Joe Flizzow untuk menjual dan
mengedar dadah demi mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan kokleanya. Kegiatan
Uda telah dikaburi secara tidak sengaja dengan kad OKU yang dimilikinya. Joe Flizzow
yang memainkan watak sebagai tokan menggunakan kelebihan yang ada Uda bagi
menjalankan bisnesnya dengan jayanya dan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Uda
kemudiannya bertemu Dara lakonan Sharifah Amani iaitu seorang pelajar sekolah
yang bermasalah, yang mencari ruang agar isi hatinya didengari dan masih
mencari arah tujuan hidupnya. Tanpa sedar rasa cinta mula timbul antara mereka
apabila Dara merasakan Uda sentiasa memahami dan mendengar segala suara
hatinya. Namun seperti semua kisah cinta, percintaan mereka terhalang oleh
dunia dan budaya masyarakat hedonistik seks dan dadah.
Melur
lakonan Sharifah Sakinah pula merupakan kawan baik kepada Dara. Melur merupakan
seorang gadis muda yang menjalani kehidupan bebas selepas tamat belajar. Melur
menjalinkan hubungan dengan seorang penagih dadah iaitu Azman Picasso lakonan
Amerul Affendi. Kamil pula lakonan Iedil Putra adalah seorang yang berada dan berusaha
untuk memenangi hati Dara serta mahu menidurinya. Kamil juga sanggup menampung segala keperluan Azman hanya untuk
mendapatkan Dara.
Bagi
saya, filem ini menjadi sebutan ramai kerana ia bukanlah sebuah filem yang
memberi pengajaran moral ataupun untuk berdakwah, tetapi filem ini menjadi
kontroversi kerana temanya yang ditonjolkan secara berani dan terbuka. Ia
benar-benar masuk ke dalam masyarakat sama ada yang menerima, menolak,
membahaskan secara emosi, secara ilmiah mahupun dari segi agama, menghukum,
mengkritik dan banyak lagi.
Disebabkan
hampir keseluruhan jalan cerita filem ini ‘pekak’, makanya pemerhatian terhadap
watak Uda haruslah ditekankan bagi membaca, memahami dan mendalami wataknya. Antara babak yang agak menarik bila mana
Uda menggunakan pin nama Dara bagi menutup bahagian baju Dara yang terkoyak di
bahagian belakang. Jika dibandingkan dengan filem-filem lain, kebiasaannya
jaket akan digunakan bagi menutup koyak tersebut tetapi dalam filem ini pengarahnya
telah menunjukkan satu sisi yang baru.
Kisah
cinta Uda dan Dara yang klasik dihidupkan dengan gaya modern yang sangat segar.
Kisah mereka tidak lari dari dunia realiti dan masih berpijak di dunia yang
nyata. Kehidupan remaja yang penuh dengan aktiviti tidak sihat juga dapat
dilihat dalam kisah percintaan antara Melur dan Azman Picasso.
Selain
itu, parti liar yang biasanya ditayangkan akan dibuat di kelab-kelab malam
tetapi melalui filem ini parti tersebut diadakan di rumah orang yang berada
seperti Kamil. Hakikatnya, kini kebiasaanya parti-parti liar biasanya dilakukan
dan dianjurkan oleh anak-anak orang kaya. Di sini kita dapat lihat bahawa
aktiviti liar dan tidak sihat itu sebenarnya tidak semestinya bermula dari luar
rumah tetapi boleh juga berlaku dari rumah sendiri.
Watak
Azman Picasso yang merupakan seorang penagih boleh diberikan penghargaan kerana
watak beliau benar-benar hidup. Sikap dan gayanya yang menunjukkan sebagai
seorang penagih benar-benar menunjukkan bahawa beliau telah mendalami watak
tersebut sebelum melakonkannya. Azman sering berkhayal akan kehadiran Melur dan
banyak lagi adegan-adegan khayalannya. Wataknnya juga berjaya mengisi ruang dan
menghidupkan suasana yang hampir sepi melebihi watak Uda sendiri.
Melalui
filem ini juga, dapat dilihat Dara, naif dalam mencari ruang untuk suaranya
didengari manakala Melor pula naif dalam mencari ruang untuk dirinya
memberontak sementara Kamil naif dalam meneroka rasa sensual dirinya. Uda
walaupun agak matang dalam filem ini, ternyata memilih jalan yang salah dalam
memenuhi kehendaknya hingga mengorbankan orang yang disayanginya dan watak
Azman yang juga kelihatan matang tetapi terlampau menghambakan dirinya dengan
dadah.
Watak-watak
yang ditonjolkan melalui filem Pekak ini menunjukkan mereka sebenarnya tersalah
menilai dan tersalah memilih sedangkan mereka masih mempunyai pilihan lain yang
mana akhirnya menjerat diri sendiri sama ada untuk menjadi mangsa diri sendiri
atau mangsa orang lain.
Selain
pengarahan dan pembentukan naratif ekspresif yang baik, barisan
pelakon-pelakonnya juga berjaya menghidupkan hubungan antara watak-watak dalam
filem ini.
Sebagai
pembikin filem yang baru, Khairul Azri berjaya memberikan nafas baru dalam
filem tempatan. Semoga dengan kehadiran pengarah baru serta barisan pembikin
filem Malaysia yang baru akan dapat meneruskan perkembangan bentuk dan idea
dalam filem tempatan.
DARI MALAYSIA KE KEMBOJA
Ini
adalah catatan perjalanan saya bersama-sama rakan sekelas Semester 4 Sesi April
2016/2017 Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur (UUM KL) dalam menjayakan
satu program kemasyarakatan.
Tanggal
21 Julai 2016-24 Julai 2016 yang lalu, kami telah menjejakkan kaki ke tanah
Kemboja. Misi utama kami berada di sana adalah untuk menjayakan dan
menyempurnakan satu program kemasyarakatan yang diberi nama Semarak Kasih Di
Kemboja, Sejernih Air Di Kali.
Sepanjang
keberadaan kami di sana, kami dibantu oleh Ustaz Abdul Samad Bin Yusof dalam
menjalankan segala aktiviti yang telah dirancang. Program ini turut mendapat
kerjasama dari agensi-agensi luar yang prihatin dalam usaha menjayakan program
ini. Selain mendapat bantuan kewangan, kami juga mendapat bantuan dari segi
pakaian, makanan dan sebagainya.
Perjalanan bermula dengan
berkumpul di KLIA2 pada jam 12.00 tengah hari untuk diberikan taklimat terakhir
sebelum berlepas. Kemudiannya kami seramai 33 orang ahli telah bersama-sama
membantu bagi menguruskan urusan bagasi yang membawa pelbagai jenis barang
seperti bahan-bahan masakan, pakaian-pakaian yang telah disedekahkan dan
sebagainya.
Tepat jam 3.45 petang,
pesawat AK534 berlepas menuju ke bumi Kemboja. Perjalanan yang mengambil masa
selama dua jam membuatkan kami hanya membuat hal masing-masing.
(Ustaz Samad yang sentiasa membantu sepanjang keberadaan kami di sana) |
Disebabkan masalah yang
dihadapi itu, kami tidak mempunyai banyak masa untuk berehat di rumah tamu yang
telah disediakan. Perjalanan yang hampir satu jam itu menyebabkan kami
mempunyai masa hanya 20 minit sahaja untuk membersihkan diri dan kemudiannya meneruskan aktiviti seterusnya.
Jam 8.30 malam kami tiba di
Kampung Klang Sbek Phnom Penh. Kami disambut mesra oleh penduduk Islam kampung
tersebut. Kami juga turut disajikan makan malam dengan nasi berlaukkan
masakan tradisi Kemboja. Memandangkan semua agak kelaparan pada masa itu, kami
semua menikmati makanan dengan berselera sekali walaupun ada sedikit kelainan rasa pada masakan mereka.
Kemudiannya kami bersama-sama membantu penduduk kampung menyediakan bahan-bahan mentah untuk gotong-royong pada keesokkan harinya.
Kemudiannya kami bersama-sama membantu penduduk kampung menyediakan bahan-bahan mentah untuk gotong-royong pada keesokkan harinya.
Aktiviti diteruskan dengan
penyerahan sumbangan kepada penduduk kampong seperti duit, pakaian, beras, alat tulis dan pelagai lagi. Selesai sesi penyerahan sumbangan kami terus
pulang ke rumah tamu untuk beristirehat.
22
Julai 2016 (Jumaat)
Pagi Jumaat ini kami telah
dibawa ke sebuah gerai makanan di tepi jalan oleh Ustaz Samad. Kebanyakkan kami
telah memilih sup kuetiau sebagai hidangan pada pagi itu. Setelah makanan
sampai, masing-masing hanya tersenyum tetapi terpaksa memakannya memandangkan
Ustaz Samad telah bersusah payah membawa kami semua ke gerai tersebut. Sup kuetiau yang dihidangkan sebenarnya di Malaysia lebih dikenali sebagai sup bihun. Sup bihun yang dihidangkan dengan dua bebola daging yang sangat besar dan
daging-daging dengan potongan yang agak besar serta salad di dalam sup bihun tersebut. Rasanya juga agak lain dan sedikit berbeza dengan lidah Melayu saya.
Tetapi, untuk menjaga hati, saya habiskan juga bihun tersebut dan begitu juga
dengan rakan-rakan yang lain.
Kemudiannya kami terus
bergerak untuk membuat lawatan ke tempat-tempat pemasangan perigi dan panel
solar yang telah disumbangkan. Kami dibawa memasuki jalan-jalan kampung dan
bertemu dengan penduduk kampung. Ada juga ahli yang menghulurkan makanan dan
sedikit wang kepada kanak-kanak yang ada bagi menceriakan mereka pada hari itu.
Lawatan kami di sekitar kawasan tersebut mengambil masa lebih kurang 3 jam.
Disebabkan masa tidak
mengizinkan dan hampir tengah hari kami pergi ke Kampung Klang Sbek pula bagi
menjalankan aktiviti mengikut jadual yang telah diatur. Kami memulakan dengan
sukaneka bersama kanak-kanak dan memberikan sumbangan alat tulis dan makanan
kepada mereka. Setelah itu, gotong-royong memasak bersama penduduk kampung
untuk hidangan makanan tengah hari bersama penduduk kampung dan juga untuk
majlis di petang hari. Tengah hari itu kami makan bersama anak-anak dan
penduduk kampung tersebut.
Setelah selesai solat
Jumaat, diadakan pula Majlis Perasmian Program Semarak Kasih Di Kemboja,
Sejernih Air Di Kali yang dirasmikan oleh Kedutaan Besar Malaysia Ke Kemboja
Dato’ Sri Hasan Malek. Majlis berjalan lancar sepanjang keberadaan Dato’ Sri
Hasan Malek. Kami telah membawa beliau bertemu penduduk kampung dan melawat
beberapa tapak di kampung tersebut.
Selesai solat maghrib
bersama, kami kemudian bertolak ke Bandar Phnom Penh. Sekitar jam 8.30 malam
kami tiba dan berehat di sebuah hotel sekitar Bandar. Tiada aktiviti rasmi
dilakukan memandangkan malam ini telah dikhaskan untuk melakukan aktiviti
bebas. Kami membersihkan diri dan berehat seketika.
Kemudiannya, saya dan
beberapa orang sahabat telah bersetuju dan mengambil peluang untuk bersiar-siar
sekitar bandar. Kami singgah di sebuah restoran halal bagi menjamah sedikit
makanan kemudiannya menaiki tuk-tuk untuk melawat sekitar bandar Phnom Penh.
Setelah kepenatan kami pulang dan berehat di hotel semula.
23
Julai 2016 (Sabtu)
Kami telah dikejutkan seawal
6.00 pagi waktu Malaysia. Kami bersiap dan kemudiannya pergi menjamah di sebuah
restoran halal. Kami pergi ke Restoran Halal yang semalamnya telah kami
kunjungi memandangkan tidak banyak pilihan kedai yang boleh dipilih.
Kemudian kami telah dibawa untuk melawat ke Muzium Tuol Sleng Genocide. Di situ, dapat dilihat kesan-kesan tinggalan kekejaman yang dirasai penduduk Kemboja satu ketika dahulu. Kami tidak mempunyai banyak masa di situ hanya lebih kurang satu jam sahaja diperuntukkan kerana perlu bersiap untuk aktiviti seterusnya.
Tepat jam 1.00 petang kami tiba di Kedutaan Malaysia di Kemboja. Majlis Sambutan Hari Raya diadakan di Kedutaan Kemboja. Kami dihidangkan dengan makanan-makanan dan masakan Malaysia. Turut diadakan pertandingan karaoke kepada tetamu yang hadir. Rombongan kami juga turut berkesempatan untuk menyanyi bersama-sama Duta Malaysia di Kemboja.
Setelah majlis selesai kami
melawat sekitar bandar Phnom Penh. Kami turut menaiki kapal yang disewa bagi
mengelilingi sungai yang menempatkan penduduk-penduduk Islam laut yang hanya
menetap dan tinggal dalam sebuah sampan kecil.
Setelah penat kami pulang semula ke tempat penginapan untuk beristirehat. Memandangkan aktiviti penuh pada hari itu, saya hanya duduk di dalam bilik bagi merehatkan diri. Saya hanya keluar untuk mencari makanan untuk mengalas perut bersama rakan sebilik. Kemudiannya kami terus pulang ke bilik dan tidur.
Setelah penat kami pulang semula ke tempat penginapan untuk beristirehat. Memandangkan aktiviti penuh pada hari itu, saya hanya duduk di dalam bilik bagi merehatkan diri. Saya hanya keluar untuk mencari makanan untuk mengalas perut bersama rakan sebilik. Kemudiannya kami terus pulang ke bilik dan tidur.
24
Julai 2016 (Ahad)
Pagi itu, saya dan rakan
sebilik bangun awal dan mencari kedai untuk mengalas perut. Setelah selesai
kami berjalan-jalan di sebuah pasar bagi membeli sedikit cenderahati. Terdapat
banyak kain-kain yang dijual dengan harga berpatutan. Kami tidak melepaskan
peluang dan masing-masing membeli untuk keluarga.
Disebabkan masa tidak
mengizinkan, kami pulang semula ke hotel dan berkemas. Tepat jam 11.30 pagi
kami bertolak ke Lapangan Terbang Phnom Penh. Memandangkan masih ada banyak
masa, kami hanya singgah makan di sebuah kedai di lapangan terbang tersebut
sambil bertukar-tukar gambar. Kemudiannya masing-masing hanya membuat hal
sendiri memandangkan semua telah penat.
Kapal terbang berlepas tepat
jam 4.45 petang di Phnom Penh. Kami tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur jam
7.30 malam. Selesai mengambil semua barang kami bersalaman dan terus bergerak
pulang.
Sekian adalah sedikit sebanyak tentang pengalaman dan cerita saya sepanjang berada di bumi Kemboja. Semoga dapat dijadikan panduan buat kalian yang bakal pergi ke sana.
Sekian adalah sedikit sebanyak tentang pengalaman dan cerita saya sepanjang berada di bumi Kemboja. Semoga dapat dijadikan panduan buat kalian yang bakal pergi ke sana.
Subscribe to:
Posts (Atom)